SEBUAH sistem rangkaian komputer membabitkan dua buah komputer yang dihubungkan dengan media menggunakan talian terus atau talian telefon. Manakala sistem rangkaian yang rumit atau kompleks bergantung kepada imaginasi masing-masing. Secara khususnya, rangkaian komputer bermaksud semua nod seperti pelayan, stesen kerja, pencetak dan sebagainya dihubungkan diantara satu sama lain dengan tujuan untuk berkongsi maklumat dan bahan. Dengan kata lain, maklumat yang ada pada pengguna A dapat disebarkan kepada penguna lain dan begitu juga sebaliknya. Istilah seperti OSI, Ethernet, LAN, WAN, Internet, Intranet, Extranet dan sebagainya banyak didapati menerusi akhbar dan Internet. Namun masih ramai yang gagal memahami maksud sebenar istilah itu. Cara berhubung diantara satu nod dengan nod lain, perlu ada perantaraan seperti kabel, hub, perisian dan sebagainya. Memandangkan terlalu banyak kabel, hub dan perisian yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar denan pelbagai ciri tersendiri, kemungkinan besar ada yang tidak serasi dengan produk keluaran yang lain. Di awal tahun 70an, sistem rangkaian berasaskan sistem Komputer IBM dan DECnet tidak dapat berhubung antara satu sama lain disebabkan tiada kesepakatan dalam cara sistem rangkaian berkerja. Sekiranya pejabat kita menggunakan sistem rangkaian IBM, maka peralatan komputer perlu menggunakan produk IBM dan begitu jugalah sebaliknya. Dalam sistem rangkaian, satu standard komunikasi berjaya dibentuk. Model ini dipanggil OPEN SYSTEM INTERCONNECTION (OSI) yang dirangka oleh International Standard Organization pada tahun 1974 (setengah pendapat mengatakan tahun 1978). Diluluskan pada tahun 1983 untuk diguna pakai oleh semua pengeluar. Dengan model OSI itu, setiap pengeluar dikehendaki mengikut standard terbabit untuk memudahkan peralatan yang dicipta berkomunikasi dengan peralatan yang dikeluarkan oleh pengeluar lain. Di dalam Model OSI, terdapat tujuh lapisan (seven layer). Setiap lapisan tidak menghiraukan lapisan yang lain. Tetapi setiap lapisan mempunyai hubung kait yang kuat dan setiap lapisan itu dipanggil lapisan protokol. Model OSI adalah satu panduan dan bukannya satu perisian atau perkakasan. Ia digunakan sebagai satu rujukan untuk dipatuhi oleh semua pengeluar perisian dan perkakasan supaya produk mereka boleh disambungkan kepada sistem rangkaian tanpa sebarang masalah. OSI boleh diibaratkan sebagai satu polisi keamanan dunia yang perlu diikuti oleh semua negara supaya dunia ini aman. Mmmmmm, keganasan! Walaupun realitinya keamanan sejagat sukar diperolehi. Begitu juga dengan model OSI ini, terdapat juga ketidak serasian berlaku di dalam pengeluaran produk yang berlainan. Maka apabila kita membeli sesuatu produk pastikan kita mengetahui setakat mana peralatan itu mengikut standard dan keperbezaan antara peralatan yang hendak disambungkan kepadanya. Selalunya produk seperti Cisco mempunyai protokolnya tersendiri yang hanya ada pada peralatan mereka. Pengetahuan mengenai OSI perlu diketahui oleh sesiapa juga yang ingin mendalami sistem rangkaian. Ini kerana setiap lapisan mempunyai fungsi tertentu yang akan membabitkan operasi sistem rangkaian. Kenapa pula? Sebab tujuan dibentuk Model OSI adalah untuk kesepakatan didalam berkomunikasi melalui sistem rangkaian. Bayangkan kalau Ah Chong bercakap menggunakan bahasa mandarin kepada Mutusamy, tentu sekali Mutusamy tidak faham sepatah apa yang dikatakan oleh Ah Chong. Oleh itu Ah Chong dan Mutusamy perlu menggunakan Bahasa Malaysia (sekarang dikenali dengan Bahasa Melayu) didalam percakapan mereka.