Tiga topologi utama rangkaian telah diterangkan minggu lepas dan minggu ini disambung dengan penggunaan hub. ANTARA jenis hub yang ada dalam pasaran ialah: a) Hub biasa 10 Mb/s. Hub dengan kelajuan maksimumnya 10 Mb/s. Antara pilihan untuk hub jenis paling murah ini ialah 8, 12, 16 dan 24 port. Anggaran harga untuk hub 24 port adalah RM2500. Disebabkan hub adalah pengulang port berbilang dan sekiranya hub 24 port digunakan, kelajuan untuk setiap satu port adalah 10 Mb/s. Salah satu port selalunya akan disambung ke unit pelayan dan port tersebut juga berkelajuan 10 Mb/s. Dengan ini dan secara teorinya, sekiranya 23 komputer menghantar isyarat kepada pelayan secara serentak, semua isyarat atau data 23 komputer tersebut terpaksa berkongsi lebar jalur (bandwidth) 10 Mb/s melalui port ke 24 untuk sampai ke pelayan. Setiap pengguna DTE1 hingga DTE4 mempunyai port yang berkelajuan 10 Mbps. Sekiranya tiga pengguna serentak menghantar isyarat atau maklumat kepada pengguna DTE4, ketiga-tiga pengguna tadi terpaksa berkongsi lebar jalur untuk tiba ke DTE4. Dengan ini pengguna hub jenis ini hanya sesuai untuk penggunaan yang kurang aktif atau pengguna hanya menggunakannya untuk menghantar dan menerima data kecil saja. Secara praktikal, sekiranya hanya fail jenis teks dihantar, bilangan pengguna boleh ditambah hingga 100 port dan tanpa mengganggu kelancaran sistem rangkaian. Bagaimana pun, penggunaan hub jenis ini tidak digalakkan sekiranya banyak komputer jenis Macintosh dipasang dalam rangkaian itu. Dari pengalaman, sekiranya satu terminal Macintosh menghantar fail grafik sebesar 8 MB ke mesin pencetak, pengguna Macintosh lain tidak akan dapat menggunakan sistem rangkaian tersebut untuk beberapa ketika kerana fungsi protokol Appletalk amat berbeza dengan protokol Ethernet. Perbezaannya ini akan dibincang pada keluaran akan datang. Untuk mengatasi masalah ini, hub pensuisan (switching) perlu digunakan.b) Hub pensuisan 10 Mb/s. Kelajuan setiap port masih lagi 10 Mb/s. Perbezaan jenis ini ialah sekiranya 23 pengguna menghantar atau menerima fail serentak dari pelayan, setiap pengguna akan mendapat kelajuan maksimum sehingga 10 Mb/s untuk tiba ke pelayan. Ini dapat dicapai dengan menggunakan teknologi pensuisan. Bagaimanapun itu hanya teori saja kerana kelajuan maksimum protokol Ethernet hanya 30% dari 10 Mb/s, setelah ditolak tanggungan (overheads) di dalam protokol Ethernet itu sendiri. Harga untuk hub pensuisan berbeza antara satu sama lain kerana kelajuan hub itu sendiri dalam melaksanakan operasi pensuisan mempengaruhi kelajuan secara menyeluruh. Malah terdapat hub pensuisan yang tidak semua portnya melaksanakan operasi pensuisan. Sebagai contoh ialah hub pensuisan 16 port. Port hub ini dibahagikan kepada empat bahagian. Ini bermakna empat port berkongsi 10 Mb/s. Hub pensuisan jenis ini lebih murah jika dibandingkan dengan jenis setiap port boleh melaksanakan pensuisan. Sekiranya kedudukan port seperti di rajah 5, besar kemungkinan empat port berkongsi 10 Mb/s. c) Hub 10/100 Mbps. Kini terdapat hub yang menggunakan teknologi pensuisan dengan mempunyai kelajuan maksimum sehingga 100 Mb/s.