KEPENTINGAN bridge dihuraikan minggu lepas dan disambung dengan cara ia beroperasi CARA operasi Bridge seperti rajah: a) Bridge akan menerima bingkai (frame) dari LAN X dialamatkan kepada pengguna di stesen 21 hingga 40 dan dihantar ke LAN Y. Tetapi bingkai dari LAN X yang dialamatkan kepada pengguna di stesen 1 hingga 20 akan disekat oleh bridge dari menyeberang ke LAN Y. b) Bingkai dari LAN Y yang dialamatkan kepada pengguna di stesen 1 hingga 20 akan diterima oleh bridge dan dihantar ke LAN X. Tetapi bingkai dari LAN Y yang dialamatkan kepada pengguna di stesen 21 hingga 40 akan disekat oleh bridge dari menyeberang ke LAN X. c) Perlu diingat secara amnya, jika pengguna dari stesen 1 menghantar data ke stesen 2, stesen 1 akan menghantar bingkai ke semua tempat. Ini bermakna pengguna dari stesen 1 hingga 20 akan menerima bingkai tersebut, tetapi hanya stesen 2 akan menjawapnya. Dalam waktu yang sama, bingkai dari stesen 1 juga akan cuba menyeberangi Bridge untuk ke stesen 21 hingga 40, tetapi bridge akan menapis dan menyemak jika pengguna stesen 2 berada di LAN Y. Bingkai tersebut akan dihapuskan setelah dipastikan pengguna stesen 2 tiada di LAN Y. Terdapat tiga cara di mana bridge selalu digunakan iaitu: a) Arahan tetap (Fixed routing). Maklumat ke dalam bridge perlu dibuat dan diletakkan secara manual. Bridge ini tidak sesuai untuk sistem rangkaian yang besar kerana senarai perlu dikemas kini setiap kali ada perubahan pada LAN. b) Spanning Tree Routing. Membina senarai peralatan secara automatik. Sekiranya berlaku sebarang perubahan, senarai tersebut juga turut berubah. c) Source routing. Digunakan untuk token ring 802.5. Terdapat lima jenis bridge, iaitu: a) Remote Bridges. Juga dikenali sebagai bridge separuh (half-bridge), digunakan untuk menyambung dua LAN yang jauh menggunakan talian WAN (Wide Area Network). b) Simple Bridges. Kedua-duanya perlu ada protokol fizikal dan lapisan MAC yang serupa. Contoh: LAN 1 mesti menggunakan protokol 802.3 dan LAN 2 juga perlu menggunakan protokol 802.3. Ia menggunakan cara Fixed routing dan sesuai untuk sistem rangkaian yang kecil. c) Learning Bridges. Secara automatic ia belajar, membina dan memperbaharui senarai peralatan di LAN. d) Intelligent Bridges. Sama seperti learning bridges tetapi mempunyai kelebihan kerana boleh diprogram. Dengan ini arahan penapisan, kaedah keselamatan dan sebagainya boleh ditetapkan. Ia hampir merupai router. e) Multiport Bridges. Satu bridge dengan banyak port dan pelbagai topologi boleh disambung dengan jenis ini.