DENGAN kemajuan bidang perisian komputer serta perubahan gaya kerja perisian yang dulunya dalam bentuk text dan kini lebih kepada grafik dan audio, sistem Ethernet sedia ada tidak mampu menampung data yang semakin besar. Oleh itu Jawatankuasa IEEE telah memperkenalkan sistem Ethernet yang lebih laju. Terdapat dua standard yang diperkenalkan oleh jawatankuasa itu. Satu cara adalah meningkatkan kelajuan sistem Ethernet sedia ada dari 10 Mbps menjadi 100 Mbps dengan mengekalkan teknik CSMA/CD. Kaedah ini dipanggil sebagai 100Base-T Ethernet Pantas (Fast Ethernet), iaitu menuruti standard 802.3. Cara kedua ialah dengan membina satu teknik baru yang dipanggil demand priority. Teknik ini masih lagi menggunakan kerangka Ethernet yang sama serta boleh membawa kerangka token ring. Sistem yang dikenali sebagai 100VG-AnyLAN ini diberikan satu standard baru, iaitu IEEE 802.12. Sistem Media 100-Mbps Sistem Fast Ethernet juga mempunyai mekanisma Auto-Negotation yang berfungsi untuk mengesan sama ada media yang digunakan menggunakan sistem 10 Mbps atau 100 Mbps. Dengan ini setiap peralatan antaramuka Ethernet pantas berkebolehan untuk beroperasi sama ada pada kelajuan 10 Mbps atau 100 Mbps secara automatik. Terdapat tiga jenis media yang digunakan untuk mengunakan sistem Ethernet 100 Mbps. Rajah di atas menunjukkan tiga jenis media yang ditentukan oleh IEEE. Perkataan 100 adalah menentukan kelajuan media tersebut, iaitu 100 Mbps manakala BASE bermaksud jenis isyarat yang digunakan adalah jenis baseband. Isyarat Baseband bermaksud isyarat Ethernet merupakan satu-satunya isyarat yang ada didalam media tersebut. Perkataan ketiga menentukan jenis segmen, iaitu T4 adalah segmen twisted pair yang menggunakan empat pasang wayar yang lebih dikenali dengan telephone grade twisted pair. Dengan menggunakan standard T4, kabel yang berkualiti rendah boleh juga digunakan. Segmen TX adalah twisted pair segmen yang menggunakan dua pasang wayar yang dikenali dengan data grade twisted pair. Standard TX memerlukan wayar berkualiti tinggi yang menuruti standard ANSI (American National Standard Institute). Perlu diingatkan, walaupun 100Base-TX hanya mengunakan dua pasang wayar tetapi di dalam pembinaan wayar jenis TX, kabel twisted pair yang mempunyai empat pasang akan digunakan. Bagaimana pun hanya wayar yang disambungkan kepada pin nombor 1,2,3 dan 6 saaja yang akan berfungsi. Segmen FX adalah segmen gentian optik yang turut menepati standard ANSI. Kedua-dua segmen FX dan TX juga dikenali sebagai 100BASE-X. Sistem Media 100-Mbps TX Sistem media 100-Mbps TX hampir sama dengan sistem media 10 Mbps. Perbezaan yang ketara adalah papan antara muka NIC (Network Interface Card) perlu menyokong 100BASE-TX dan hub yang digunakan perlu dari jenis 100BASE-TX. Kabel yang digunakan juga mestilah dari jenis twisted pair kategori 5 atau lebih dikenali dengan CAT5. Rajah di atas menunjukkan penyambungan komputer peribadi kepada 100BASE- TX Ehternet. Walaupun kabel kedua-dua jenis kabel twisted pair kategori 5 boleh digunakan, kabel jenis unshielded twisted pair lebih banyak digunakan berbanding kabel jenis shielded twisted pair. Sebabnya kerana ia murah. Untuk membezakan unshielded dan shielded twisted pair amat mudah. Kedua- dua kabel adalah dari katergori 5 dan mempunyai empat pasang wayar. Setiap pasang wayar mesti dipintal (twisted) untuk meningkatkan kualiti isyarat yang ada di dalam kabel tersebut. Perbezaannya hanyalah setiap pasang kabel akan disalut untuk jenis shielded dan tidak bersalut untuk jenis unshielded. Empat pasang wayar tadi akan disalut dengan salutan yang lain pula. Perlu diingatkan wayar tersebut mesti dipintal sehingga hujungnya. Komponen 100BASE-TX Dengan menggunakan kabel kategori 5, panjang maksimum untuk satu segmen adalah 100 meter dengan nilai impedance 100 ohms. Jika dilihat dari panjang maksimum yang dibenarkan, kita dapati panjang maksimum adalah sama dengan sistem Ethernet 10BaseT. Perbezaannya adalah: a. 100BASE-TX tidak boleh melebihi 100 meter untuk memastikan round trip timing mengikut spesifikasi yang ditetapkan. b. 10BASE-T tidak boleh melebihi 100 meter kerana kekuatan isyarat tidak cukup kuat. Sekiranya menggunakan kabel twisted pair berkualiti tinggi, kemungkinan untuk sistem 10BASE-T boleh berfungsi tetapi tidak sistem Ethernet pantas. Walau bagaimana pun kedua-dua sistem masih lagi menggunakan dua pasang wayar dan disambung dengan penyambung RJ45. Terdapat juga RJ45 yang dibina khas untuk sistem Ethernet pantas tetapi RJ45 yang digunakan untuk sistem 10BASE-T masih lagi boleh digunakan. Apa yang penting adalah setiap pasang kabel perlu dipintal hingga ke hujung RJ45. Rajah di bawah menunjukkan kedudukan pin di RJ45 yang digunakan. Pengulang 100BASE-TX Terdapat dua jenis pengulang (repeater) di dalam sistem Fast Ethernet, iaitu Kelas I dan Kelas II. Pengulang Kelas I membenarkan timing delay yang besar dan beroperasi mengubah isyarat talian (translating line signal) yang diterima di Incoming Port. Pengulang ini mengubah siyarat di dalam bentuk digital dan mengubahnya semula kepada isyarat talian (retranslating to line signal) untuk dihantar keluar ke port lain. Teknik ini berguna untuk mengulangi semua isyarat di antara segmen yang berlainan teknik seperti 100BASE-TX/FX dan 100BASE-T4 bersambung di dalam satu hub pengulang. Repeater Kelas II menggunakan timing delay yang kecil. Isyarat yang diterima akan dihantar semula ke port dalam kadar segera tanpa mengubah bentuk isyarat tersebut. Pengulang Kelas II hanya boleh digunakan pada teknik isyarat yang sama seperti 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Ini bermakna hub Kelas II hanya boleh disambung dengan 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Memandangkan segmen 100BASE-T4 menggunakan teknik isyarat yang berlainan, kita tidak boleh sambung dengan 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Pengulang Kelas II adalah jenis yang selalu digunakan kerana segmen 100BASE-T4 tidak begitu popular, malah setakat ini belum lagi ada berjumpa mana-mana syarikat yang menggunakan segmen 100BASE-T4 sebagai sistem Ethernet pantas. 100BASE-TX Crossover Wiring Apabila dua stesen perlu disambung di dalam satu segmen, pin hantaran data (transmit data pin) stesen A perlu disambung kepada pin penerima data (receive data pin) pada stesen B. Begitu juga dengan pin penerimaan data stesen A perlu disambung kepada pin penghantaran data stesen B. Rajah di bawah menunjukkan kedudukan pin pada RJ45. Teknik ini dipanggil Crossover Wiring. Ada kalanya untuk mengingatkan nombor pin bagi teknik ini mungkin mengelirukan. Untuk mudah mengingat, pin nombor ganjil akan disilang dengan pin nombor ganjil manakala pin nombor genap disilang dengan pin nombor genap. Ganjil dengan ganjil, genap dengan genap. Pin 1 disambung pin 3, pin 2 dengan pin 6. Setelah itu timbul pula mana hendak letakkan empat wayar selebihnya. Jangan lupa bahawa wayar twisted pair kategori 5 mempunyai lapan wayar (empat pasang). Untuk memudahkan semua ini, semua port hub yang ada di dalam pasaran sekarang telah disilangkan di dalam hub tersebut. Dengan ini setiap komputer yang disambung ke hub menggunakan kabel straight through, iaitu pin 1 ke pin 1, pin 2 ke pin 2 sehinggalah ke pin seterusnya. Kesimpulannya, sambungan dari komputer ke hub dan pelayan (server) ke hub menggunakan kabel straight through, hub ke bub perlu menggunakan kabel jenis Crossover wiring.