LAPISAN seterusnya tidak membabitkan perkakasan, hanya perisian. Sebelum dibincang lebih lanjut protokol yang digunakan untuk setiap lapisan, dihuraikan dulu mengenai Token Ring, Ethernet dan Fast Ethernet. Token Ring Rangkaian Token Ring diasas oleh IBM di akhir tahun 1970. Sehingga kini Token ring masih menjadi pilihan utama untuk IBM di dalam sistem rangkaian setempat (LAN). Spesifikasi IEEE 802.5 banyak mengikut ciri-ciri token ring yang diasaskan oleh IBM. Walau bagaimana pun terdapat sedikit perbezaan antara token ring IBM dan IEEE 802.5. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan antara token ring dan IEEE 802.5. Di dalam Model OSI token ring menyediakan perkhidmatan pada lapisan fizikal dan lapisan sambungan data. Rangkaian token ring mempunyai dua kelajuan, iaitu 4 Mbps atau 16 Mbps. (Sila lihat rajah di atas). Rangkaian token ring menggunakan teknik yang dinamakan token passing yang berfungsi untuk mengelak dari berlakunya pelanggaran data. Ini dapat dicapai dengan menghantar paket khas yang dinamakan token dari satu stesen kepada stesen lain. Sesuatu stesen hanya dapat menghantar data (paket) apabila terdapat token yang kosong. Pergerakan token hanyalah dalam satu arah saja. Untuk keterangan lebih lanjut kita lihat rajah di sebelah kanan. Keenam-enam stesen terletak dalam topologi ring dengan token passing berlaku. Token boleh dianggap seperti satu mangkuk dan pembawa dianggap keretapi yang boleh bergerak dalam satu arah saja iaitu mengikut arah jam. Dalam keadaan idle, semua pengguna dalam keadaan senyap. Apabila pengguna A ingin menghantar maklumat kepada pengguna D. Pengguna A akan memanggil keretapi tersebut dan mengisi segala maklumat ke dalam mangkuk tersebut. Maklumat yang dimasukkan adalah alamat penerima, barang kiriman dan alamat penghantar. Ianya sama seperti kita menghantar surat biasa. Setelah segala maklumat diisi di dalam mangkuk, keretapi tersebut akan bergerak mengikut arah jam. Destinasi keretapi tersebut adalah dari pengguna A kepada pengguna D. Walaupun di dalam perjalanan pengguna C ingin menghantar maklumat kepada pengguna D, keretapi tidak akan berhenti. Ini sama dengan konsep token passing, iaitu token hanya akan menerima maklumat apabila token tersebut kosong. Dalam hal ini, keretapi akan terus bergerak hingga ke pengguna D. Apabila pengguna D menerima barangan yang dikirim oleh pengguna A, pengguna D akan memasukkan maklumat ke dalam mangkuk tersebut. Maklumat yang dimasukkan adalah pengesahan penerimaan. Keretapi terus bergerak dan dalam perjalanannya, pengguna E cuba menahan keretapi tersebut untuk menghantar kiriman kepada pengguna A. Tetapi keretapi tidak akan berhenti kerana ia terpaksa menghantar maklumat mengenai pengesahan penghantaran kepada pengguna A. Apabila tiba kepada pengguna A, pengguna A akan memeriksa surat pengesahan penerimaan yang diterima dari pengguna D. Setelah itu barulah keretapi bergerak menuju ke pengguna C. Bila tiba di pengguna C, aturcara yang sama akan berlaku seperti tadi.