MINGGU ini kita lihat pula peralatan yang berada di lapisan rangkaian (Network), dengan yang pertama ialah Router. Sistem rangkaian perlu mempunyai protokol yang sesuai di lapisan ini dan ke atas. Bagaimana pun ia hanya boleh disambungkan dengan protokol yang sama saja. Contoh: TCP/IP dengan TCP/IP, XNS dengan XNS, IPX dengan IPX. Operasian router tidak sepantas Bridge kerana ia perlu melaksanakan lebih banyak protokol. Secara am, semakin tinggi kedudukannya di dalam MODEL OSI, lebih banyak proses protokol perlu dilakukannya. Jika disusun, operasi router lebih lambat dari bridge dan bridge lebih lambat dari repeater. Terdapat dua jenis router, iaitu: a) Router Protokol Tunggal (Single Protocol) yang menggunakan satu protokol saja. Ini selalu dibuat apabila menggunakan komputer peribadi sebagai router. b) Router Berbilang Protokol (Multi Protocol) yang menggunakan banyak protokol dalam masa yang sama. Jenis ini banyak terdapat di pasaran dan harganya agak mahal. Ketika membeli router jenis ini, pastikan perisiannya dibeli sekali. Ini kerana terdapat jurujual yang hanya menjual router tanpa memberitahu bahawa perisiannya perlu dibeli juga. Bagaimanapun kita tidak menyedarinya kerana setiap kali membeli router, perisian ini telah pun disediakan. Ia seperti membeli komputer peribadi dan diisi dengan perisian cetak rompak. Jadinya, semasa membeli router, pastikan harga belian termasuk harga perisian. Setakat ini belum ada orang yang diambil tindakan kerana menggunakan perisian cetak rompak untuk digunakan di dalam router. Berhati-hati atau ANDA MUNGKIN MENJADI ORANG YANG PERTAMA. Router juga boleh digunakan untuk WAN (Wide Area Network) dan Internet. Untuk WAN kita bebas menggunakan apa saja protokol yang ingin digunakan dengan syarat kita tahu apa yang hendak diguna. Elak menggunakan semua protokol yang router itu mampu mengendali kerana semakin banyak protokol yang digunakan, semakin banyaklah proses yang perlu dilaksanakan oleh router, yang akhirnya akan menyebabkan sistem rangkaian menjadi lembap. Pastikan hanya protokol yang ingin digunakan dimasukkan ke dalam router. Sebagai contoh: Sekiranya kita tidak menggunakan Windows Workgroup, tidak perlulah disertakan protokol NETBEUI. Malah di komputer peribadi juga kita perlu membuang protokol NETBEUI kerana setiap komputer yang disambung ke sistem rangkaian akan memberi maklumat mengenai nama pengguna, alamat ethernet dah sebagainya. Dengan ini routing table yang ada di dalam Router akan bertambah. Sekiranya penambahan ini melebihi had yang ditetapkan, kita akan dapati setengah pengguna tidak dapat menggunakan sistem rangkaian. Sekiranya di tempat kerja anda menggunakan banyak protokol berlainan untuk setiap jabatan, apa yang perlu dilakukan hanyalah membuat subnetwork untuk setiap jabatan. Sebagai contoh: Jabatan Grafik menggunakan MAC, Jabatan Teknikal protokol IPX dan TCP/IP manakala Jabatan Akaun protokol NETBEUI. Dengan ini pastikan trafik dari Jabatan Grafik tidak keluar ke Jabatan lain dan begitu juga dengan trafik jabatan lain tidak keluar dari jabatannya sendiri. Penggunaan router untuk subnetwork dan pengasingan protokol akan diterangkan minggu depan.