PENGENALAN RANGKAIAN komputer yang paling mudah melibatkan dua buah komputer yang dihubungkan dengan media, sama ada talian terus atau melalui talian telefon manakala rangkaian yang kompleks terletak pada imaginasi masing- masing. Secara khusus, rangkaian komputer bermaksud semua nod (nodes) seperti pelayan (server), stesen kerja (workstations), pencetak (printers) dan sebagainya, dihubungkan di antara satu dengan yang lain dengan tujuan untuk berkongsi maklumat dan bahan. Dalam erti kata lain, maklumat yang ada pada Pengguna A dapat disebarkan kepada Pengguna lain dan begitu juga sebaliknya. Cara berhubung di antara satu nod dengan nod lain memerlukan perantaraan seperti kabel, hub, perisian dan sebagainya. Oleh kerana banyak jenis kabel, hub dan perisian yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar, setiap barangan akan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan mungkin tidak serasi dengan produk keluaran syarikat lain. Bagaimanapun satu standard komunikasi telah diwujudkan untuk sistem rangkaian, iaitu Sistem antara sambungan Terbuka (Open System Interconnection atau OSI) oleh International Standard Organization (ISO) pada 1974 untuk sistem rangkaian. Dengan adanya OSI, setiap pengeluar perlu memenuhi standard tersebut untuk memudahkan peralatan yang mereka cipta berkomunikasi dengan peralatan pengeluar lain. Di dalam model OSI, terdapat tujuh lapisan (layer) yang mana setiap lapisan adalah bebas daripada lapisan yang lain. Bagaimanapun setiap lapisan ini, dipanggil lapisan protokol (protocol), mempunyai hubungkait yang kuat dengan lapisan lain. Lapisan aplikasi (Application Layer) Lapisan ini memberikan perkhidmatan kepada pengguna dalam persekitaran OSI dan lazimnya digunakan oleh Sistem Operasi Rangkaian (Network Operating System). Di antara perisian popular yang menggunakan lapisan ini ialah: 1. Telnet 2. Protokol Pindahan Fail (File Transfer Protocol, FTP) 3. Sistem Fail Rangkaian, Sun (Network Filing System, NFS) 4. AppleShare, Apple 5. Netx, Novell 6. DOOM (iD Software). Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini ialah: 1. DNS 2. Protokol Pindahan Fail Mudah (Trivial File Transfer Protocol, TFTP) 3. Protokol Pengurusan Rangkaian Mudah (Simple Network Management Protocol, SNMP) 4. Protokol Pemindahan Mel Mudah (Simple Mail Transfer Protocol, SMTP) 5. BOOTP (Bootstrap Protocol) 6. RLOGIN 7. MIME 8. NFS 9. FINGER Lapisan Persembahan (Presentation Layer) Lapisan ini menukar data kepada format paparan bagi membolehkan pengguna berhubung dengan mana-mana klien. Dengan erti kata lain, lapisan ini menukarkan Rujukan Rangkaian Standard (Standard Network References) kepada standard komputer yang digunakan. Pada lapisan ini juga kefahaman atau kesamaan (establishes understanding) dicapai bagaimana setiap mesin atau komputer perlu mengemuka dan menerima data dengan komputer lain. Contoh protocol yang digunakan di lapisan ini ialah: 1. HTTP 2. Telnet 3. AppleTalk Filing Protocol (AFP) Lapisan Sesi (Session Layer) Fungsi utama lapisan ini ialah untuk membolehkan dua stesen berhubung dan memberitahu stesen yang berkenaan sekiranya ada kerosakan pada sambungan kedua-duanya serta memutuskan talian sambungan jika diarah. Lapisan ini juga mengawal struktur di antara komunikasi dengan perisian serta menjaga log masuk (login) dan kata laluan (password), sambungan yang diwujudkan ke komputer lain dan memastikan penggunaan rangkaian yang sah. Contoh protocol yang digunakan di lapisan ini ialah: 1. Protokol Kawalan Transmisi (Transmission Control Protocol, TCP) 2. Sambungan tertentu (Named Pipes) 3. NetBIOS 4. Protokol Apple: ASP, ZIP, ADSP, PAP Lapisan Pengangkutan (Transport Layer) Bahagian ini berkhidmat sebagai penjamin keutuhan (integrity) rangkaian. Protokol ini akan memastikan semua informasi atau paket sampai ke destinasinya dan akan memberitahu stesen penghantar mengulangi penghantaran paket jika ada yang tidak diterima atau diterima tetapi tidak lengkap. Lapisan ini juga bertanggung jawab untuk memisah dan mengumpul pesanan yang panjang, keutuhan data dan alamat (addressing). Contoh Protocol yang digunakan di lapisan ini. 1. Protokol Kawalan Transmisi (Transmission Control Protocol, TCP) 2. Protokol Datagram Pengguna (User Datagram Protocol, UDP) 3. NetBIOS/NetBEUI 4. Pertukaran Paket Terjujuk (Sequenced Packet Exchange, SPX untuk Novell) 5. Protokol Komunikasi Antara Proses VINES (VINES Interprocess Communication Protocol, VIPC) Lapisan Rangkaian (Network Layer) Paket yang diterima diproses di lapisan ini yang memberikan alamat logikal antara klien tanpa menghiraukan bagaimana klien mencapai rangkaian. Lapisan ini juga bertanggung jawab untuk memastikan kekukuhan komunikasi, menjaga dan memutuskan sambungan (terminating connections) serta mengarah semua paket atau informasi ke destinasi akhirnya. Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini: 1. Protokol Internet (Internet Protocol, IP) 2. IPX (Protokol Novell) 3. Protokol Pengiriman Datagram (DDP, Apple) 4. Protokol Kawalan Pesanan Internet (Internet Control Message Protocol, ICMP) 5. Protokol Maklumat Laluan (Routing Information Protocol, RIP) 6. ARP 7. RARP 8. OSPF 9. BGP 10.IGMP Lapisan Sambungan Data (Data Link Layer) Lapisan ini boleh dibahagi kepada dua, iaitu Lapisan Capaian Media (Media Access Layer, MAC) dan Kawalan Sambungan Logikal (Logical Link Control, LLC). Lapisan MAC menguruskan capaian kepada rangkaian seperti Token Passing untuk topologi Token Ring manakala LCC menerima dan menghantar paket atau pesanan dari lapisan atas, iaitu Lapisan Rangkaian. Contoh Protocol yang digunakan di lapisan ini ialah: 1. SLIP 2. CSLIP 3. PPP (Point to point protocol) 4. MTU 5. IEEE 802.2 (LLC) 6. IEEE 802.3 7. IEEE 802.5 (token ring) 8. PPP LCP (point to point protocol untuk talian bersiri) Lapisan Fizikal (Physical Layer) Semua ciri-ciri fizikal dan isyarat elektrik diproses di sini. Antaramuka seperti RS232 dan V.35 terletak di lapisan fizikal ini. Begitu juga kabel seperti Unshielded Twisted Pair (UTP), Koaxial dan gentian optik boleh digolongkan di lapisan fizikal manakala peralatan seperti modem dan multiplex turut berfungsi di lapisan fizikal. Dalam erti kata lain, ia adalah lapisan pertama perkakasan. Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini ialah: 1. ISO 2110 2. IEEE 802 3. IEEE 802.2 Contoh lapisan fizikal digunakan ialah: 1. Ethernet (10Base2, 10BaseT, 100BaseT) 2. Token Ring 3. Arcnet 4. FDDI 5. Wireless (contoh FM) Setelah kita imbas semua fungsi lapisan OSI, kita teliti pula setiap lapisan dan kaitkannya dengan dunia nyata. Komputer merupakan peralatan utama di Lapisan Fizikal dan kabel diperlukan untuk menghubungkan dua atau lebih komputer. Terdapat banyak jenis kabel yang digunakan dan penggunaannya bergantung kepada jenis topologi yang kita pilih. Sebagai contoh, untuk Ethernet, kabel RG58, RG8/9 atau UTP digunakan manakala bagi Token Ring, kabel utp dan stp diperlukan. Spesifikasi kabel yang ada untuk digunakan bagi rangkaian Ehternet ialah: 1. 10 Base5 (coaxial tebal, RG-8). Kemampuannya ialah kelajuan 10 MB/s, pengisyaratan jalur asas (baseband) dan panjang maksimum yang disyorkan tanpa kehilangan isyarat ialah 500 meter, panjang minimum di antara MAU ialah 2.5 meter manakala MAU maksimum ialah 100. Penyambung yang digunakan untuk kabel ini jenis 10Base5, iaitu jenis coaxial tap atau lebih dikenali dengan panggilan Vampire kerana kita perlu menebuk lubang pada kabel tersebut. Jenis ini selalu digunakan di dalam rangkaian bus dan rangkaian STAR sekiranya menggunakan pengulang berbilang aras (multiport repeaters). 2. 10Base2 (coaxial nipis RG58 A/U atau RG58 C/U). Kemampuannya ialah kelajuan 10 MB/s, pengisyaratan jalur asas (baseband) dan panjang maksimum yang disyorkan tanpa kehilangan isyarat ialah 200 meter, panjang minimum di antara MAU ialah 0.5 meter manakala MAU maksimum ialah 30. Kabel ini yang memerlukan penamat (terminator) jenis 50 ohm dan disambung menggunakan penyambung BNC T. Selalu digunakan di dalam rangkaian bus dan rangkaian STAR jika menggunakan pengulang berbilang aras. 3. 10 BaseT (Twisted pair). Kemampuannya ialah kelajuan 10 MB/s, pengisyaratan jalur asas (baseband) dan panjang maksimum yang disyorkan tanpa kehilangan isyarat ialah 10 meter saja tetapi tiada jarak minimum di antara stesen manakala stesen maksimum ialah 1,204 dan tanpa menggunakan Bridge pada lapisan sambungan data. Kabel ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu kategori 3 (CAT 3), kategori 4 (CAT4) dan kategori 5 (CAT 5). Seni bina sistem rangkaian disusun mengikut topologi tertentu dan akan diterangkan minggu depan.