Kepentingan bridge dalam sistem rangkaian dihuraikan minggu lepas dan disambung dengan operasiannya. TRAFIK dari Jabatan Grafik boleh dihalang ke jabatan lain dan begitu juga dengan trafik jabatan lain tidak keluar dari jabatannya sendiri. Ini dapat dilakukan menggunakan Router, iaitu untuk setiap subnetwork hanya protokol yang digunakan saja kita masukkan. Bagaimanapun sekiranya setiap Jabatan perlu berkomunikasi untuk berkongsi e-mel, data dan sebagainya, pilihlah satu protokol yang dapat digunakan oleh semua pengguna. Salah satu protokol yang boleh diterima oleh semua pengguna adalah protokol TCP/IP. Protokol TCP/IP merupakan protokol yang amat popular masa kini terutama sejak Internet di perkenalkan. Oleh kerana ia popular, hampir semua OS yang terkemuka di dunia menyokong protokol TCP/IP. OS seperti MAC, Microsoft, SUN dan Novell turut menyokong protokol TCP/IP. Kenapa menggunakan TCP/IP dan tidak IPX yang digunakan di dalam NOVELL atau NETBEUI yang digunakan dalam Microsoft Work Group atau APPLETALK yang digunakan dalam MAC? Ini kerana TCP/IP tidak terlalu agresif seperti yang lain. Perbezaan tentang protokol akan dibincang di keluaran akan datang. Tetapi secara am, TCP/IP boleh diibaratkan seperti orang yang hanya bercakap bila perlu. Apabila dia mendapat maklumat yang dikehendaki, beliau akan membisu. Berbeza dengan protokol yang lain, mereka seperti orang yang banyak bercakap, kerja mereka ini asyik bercakap. Apa yang selalu dia orang cakap? Selalunya adalah "ooooiiiii! Aku di sini, ooooiiii! Aku di sini". Kalau protokol NETBEUI dan MAC lagi teruk. Macam `Mak Nenek' dan membebel sepanjang masa. Tetapi ada kebaikannya juga. Nanti bila tiba membincangkan tentang protokol, saya akan ulas dengan lebih lanjut lagi. Sekiranya anda menggunakan Router untuk disambung ke Internet. Hanya perlu menggunakan protokol TCP/IP. Protokol lain tidak perlu dimasukkan. Sekiranya anda masukkan juga, protokol tersebut akan dibuang oleh Router ISP (Internet Service Provider) seperti JARING dan TMNET kerana prinsip asas Internet hanya menyokong protokol TCP/IP. Lama kelamaan akaun anda ke INTERNET akan digam. DIGAM? Kerana anda menyesakkan lagi lebur raya maklumat yang sememangnya sesak. Kebaikan 1. Dengan adanya router kita boleh membuat logical subnetwork. 2. Dapat mengelak/menahan broadcast storms dari merebak ke subnet yang lain. 3. Keselamatan rangkaian lebih terjamin dengan adanya filtering dan sebagainya. 4. Boleh mengumpul data statistik mengenai sistem rangkaian. Keburukan 1. Bukannya plug & play. Anda perlu konfigur segala maklumat ke dalam router. 2. Masih tidak terdapat satu standard didalam membina Router. Ini bermakna, router Cisco dan router berlainan jenis mempunyai perbezaan dari segi paparan dan kegunaan. Ini bermaksud, sekiranya anda pernah menggunakan router CISCO, apabila menggunakan router Proteon sebagai contoh. Kedua-duanya amat berbeza antara satu sama lain. Dengan bertambahnya kelajuan Ethernet, terdapat berbagai jenis router boleh didapati di pasaran sekarang. Dengan kelajuan Ethernet yang mencapai 100 Mbps, pengeluar router juga mula mengeluarkan router berkelajuan tinggi yang menyokong fast Ethernet. Router Cisco 7200 merupakan produk dari Cisco yang menyokong fast Ethernet. Tidak cukup dengan Router yang menyokong fast Ethernet, baru-baru ini Cisco telah melancarkan router Cisco 1200 Gigabit atua lebih dikenali dengan Gigabit switching router. Untuk keterangan lanjut mengenai router ini, anda boleh berkunjung ke http://www.cisco.com. Bagaimana pun janganlah terburu-buru membeli router berkelajuan tinggi sekiranya anda tidak memerlukan lebar jalur yang tinggi. Sekiranya anda sudah ada router yang menyokong Ethernet berkelajuan 10 Mbps, dengan menukar hub biasa kepada hub pensuisan akan dapat membantu prestasi sistem rangkaian anda.