ADA tiga topologi utama yang digunakan untuk sistem rangkaian iaitu bus atau bersiri atau bus, bulatan (ring) dan bintang (star). 1. Topologi bersiri (bus) Jenis ini yang paling mudah dan selalu digunakan untuk mewujudkan rangkaian komputer dengan segera. Apa yang perlu hanyalah menyambung semua perkakasan seperti komputer dan mesin pencetak secara bersiri. Kaedah ini mudah dipasang tetapi jika terdapat sebarang kerosakan pada mana-mana kabel, semua perkakasan di dalam segmen itu tidak boleh beroperasi. Kebaikan: Pemasangan amat mudah lagi murah dan sesuai untuk rangkaian kecil. Mudah untuk menambah nod, iaitu hanya menyambung nod baru secara bersiri. Keburukan: Sistem rangkaian akan pincang sekiranya salah satu kabel rosak. Teknik Membaiki Pastikan: 1. Terminator 50 ohm dipasang dengan betul di kedua-dua hujung kabel, jika menggunakan kabel RG58 (10Base2 wayar nipis). 2. Pendekkan jarak kabel antara dua buah komputer. Sekiranya masalah diatasi, lakukan penambahan perkakasan pada sistem itu satu persatu hingga kepincangan atau masalah timbul kembali untuk memastikan kabel penyambung perkakasan yang rosak. 2. Topologi bulatan Dengan topologi jenis ini, setiap perkakasan disambung secara bersiri dan dibentuk dalam satu bulatan. Topologi ini hampir sama dengan topologi bersiri tetapi perbezaan utama ialah kedua-dua hujung kabel ditemukan untuk membentuk bulatan. 3. Topologi bintang Merupakan topologi yang menyambung semua elemen ke satu pusat, iaitu semua kabel yang menghubung perkakasan berakhir di satu titik. Dengan topologi ini, kerosakan pada mana-mana kabel atau perkakasan tidak akan menyebabkan segmen itu tidak boleh berfungsi langsung.