SOALAN Suatu hari komputer saya menghadapi sedikit masalah. Saya menyangka ia diserang virus dan terus menggunakan disket anti virus tetapi tiada sebarang virus yang dikesan. Jadi saya menggunakan DOS shell untuk membaikinya. Malangnya saya gagal keluar dari sistem itu walaupun berbagai cara saya cuba. Akhirnya saya mematikan komputer dan tidak lama selepas itu menghidupkan semula komputer tetapi monitor memaparkan C:Error Press F1 to return. Saya pun menekan F1, kemudian monitor memaparkan satu kotak empat segi yang mengandungi beberapa maklumat seperti jenis drive, ruang ingatan, dll. Kemudian drive A menjadi aktif. Tidak lama selepas itu tertera sepotong ayat yang bermaksud "Memori gagal dibuka". Selepas itu saya menekan CTRL+ALT+DEL sekali lagi. Kali ini komputer meminta saya memasukkan kata laluan. Musnazril Mustaq, Kuala Pilah. JAWAPAN Anda tidak menerangkan dengan terperinci punca masalah tetapi secara amnya masalah yang sering dihadapi adalah kegagalan komputer beroperasi dengan sempurna. Dengan erti kata lain anda menghadapi `intermittent problem'. Virus mungkin salah satu penyebab utama walau pun anda telah menggunakan anti virus dan virus tidak dapat dikesan. Ini tidak bermakna cakera keras bebas dari virus. Mungkin perisian anti virus anda bukan versi terbaru. Sebagai contoh, perisian anti virus `Microsoft Anti- Virus' tidak dapat mengesan virus Die Hard 2 (DH2). Penggunaan DOS Shell untuk memeriksa cakera keras tidak digalakkan. Penggunaan Norton Disk Doctor, Disk Fix dan Scandisk adalah lebih berkesan untuk memeriksa dan membaik pulih cakera keras. Apabila perkataan C: DRIVE FAILURE Press F1 to RESUME muncul, ini mungkin disebabkan cakera keras anda gagal berfungsi atau `TYPE' cakera keras yang digunakan telah berubah. Bila F1 ditekan, BIOS setup akan dipaparkan. Mungkin disebabkan anda panik, secara tidak sedar anda telah pergi ke pilihan `CHANGE PASSWORD' dan telah mengaktifkannya tanpa disedari. Adalah lebih elok komputer tersebut dihantar ke kedai komputer atau memanggil juruteknik untuk diperiksa.