SOALAN Saya ingin bertanya tentang pemasangan CD-ROM. Masalahnya sekarang ialah harga yang sering dikemukakan oleh peniaga di luar jangkaan saya. Oleh itu saya ingin mendapatkan senarai harga pasaran, terutama jenama Panasonic. Andaikan saya sudah memiliki pemain cakera padat, perlukah saya membeli benda lain seperti wayar penyambung pada cakera keras? Zanariah, Johor Bahru. JAWAPAN Senarai harga CD-ROM sukar disertakan kerana harganya tidak tetap untuk setiap jenama. Sebagai rujukan, harga untuk Double Speed antara RM200 hingga RM285, Quad Speed antara RM350 hingga RM480 dan 6 speed antara RM1200 hingga RM1300. Sekiranya anda membeli CD-ROM, anda akan dibekalkan dengan kad `secondary IDE', kabel data dan kabel audio. Sekiranya komputer anda dipasang dengan satu cakera keras saja, sambungkan CD-ROM pada kabel data yang sama dan jangan guna kad `secondary IDE'. Jika kad IDE di dalam komputer ada dua IDE bina dalam, iaiti IDE0 dan IDE1, sambungkan CD-ROM kepada IDE1. Akhir sekali pastikan IRQ yang dipilih untuk CD-ROM adalah bebas dan tidak berkongsi/bertembung dengan peranti lain.