SERAMAI 30 rakan Internet Relay Chat (IRC) di Malaysia buat kali pertama berkumpul untuk berkenalan dan bertukar-tukar pengalaman disamping berpeluang mengenali antara satu sama lain yang selama ini berselindung disebalik nama samaran. Setiausaha penganjur perjumpaan, Rozaimy Baharuddin, berkata selain berkenalan dan bertukar pengalaman rakan IRC dapat berbincang dan mengatur strategi untuk menggalakkan lebih ramai remaja menyertai kumpulan berkenaan. "Melalui IRC individu yang memasukki kumpulan berkenaan akan dapat mengumpulkan lebih ramai rakan dari seluruh dunia yang mempunyai minat dan kecenderungan sama," katanya kepada Berita Komputer di Port Dickson, baru- baru ini IRC adalah platform perbincangan dalam Internet mencakupi pelbagai topik dan minat yang boleh dicapai selama 24 jam. Pengguna boleh memilih kecenderungan topik untuk berbincang serta menggunakan pelbagai nama samaran. Rozaimy berkata, pelbagai perkara dapat dilakukan oleh rakan IRC termasuk memperolehi maklumat lanjut dan terkini perkembangan dunia komputer atau teknologi maklumat terutama dari sahabat di Amerika Syarikat. "Rakan IRC juga boleh mendapat pelbagai bimbingan kaunseling daripada sahabat yang mempunyai pengalaman dalam bidang pelajaran, pekerjaan, bertukar nota pelajaran dan menyelesaikan masalah peribadi," katanya. Dalam perjumpaan itu, rakan IRC Malaysia bercadang untuk memperluaskan aktiviti mereka ke seluruh negara dengan melakukan pelbagai progarm bagi menarik lebih ramai remaja menyertainya. Mereka juga bercadang untuk menyediakan buletin elektronik yang diberi nama Kedai Kopi bagi membolehkan ahli memperolehi berita terkini terutamanya perkembangan IT dari Amerika Syarikat.