Soalan: 1. Bagaimana modem berfungsi? 2. Bolehkah pihak tuan menyiarkan pelbagai jenis komputer yang ada di seluruh dunia dan yang biasa digunakan di Malaysia. Siti Fatimah Muhd Amin, Johor Bahru. Jawapan: 1. Modem berfungsi untuk menukar isyarat dari bentuk analog menjadi digital dan menukar kembali isyarat yang dihantar dari bentuk digital kepada analog. Komputer menggunakan isyarat digital manakala telefon menggunakan isyarat analog. Ini bermakna data berbentuk digital dari komputer si Halim kepada komputer si Halimah perlu ditukar menjadi analog dahulu menggunakan modem untuk membolehkannya dihantar melalui talian telefon. Pada komputer si Halimah, data analog yang diterima akan ditukar menjadi digital melalui modemnya sebelum diinput ke komputer. 2. Ada beratus-ratus jenis komputer di Malaysia, jenama seperti IBM, Acer, Compaq, Dell, Digital dan HP adalah antara komputer berjenama. Jenama komputer klon seperti Logix, Micromart, Cili, Padi dan lain-lain banyak juga terdapat di pasaran. Antara perbezaan komputer berjenama dengan klon ialah: a) Harga - komputer klon jauh lebih murah. b) Prestasi - untuk `configuration' yang sama, komputer berjenama lebih laju kerana semua kad (kad paparan, kad IDE dan papan induk) dibina dalam satu kad manakala komputer klon pula, kad dipasang secara berasingan.