Soalan: 1. Bagaimana sesuatu program di dalam cakera keras diwujudkan? 2. Adakah program seperti Wordstar, dBase, Arcade Games, Lotus, etc telah tersedia ada dalam cakera keras atau kita sendiri yang harus menciptanya? 3. Bidang perkomputeran masih baru buat saya. Apakah cara terbaik untuk mendalami bidang ini? Norhayati Zakaria, Besut. Jawapan: Cakera keras yang baru tidak mempunyai sebarang program di dalamnya. Ini boleh disamakan dengan anda membeli kaset kosong dan anda sendiri merakam lagu ke dalam kaset. Bagi cakera keras, sebelum program dimasukkan, penjual akan melakukan FDISK untuk membuat "partition". Selepas itu sistem operasi seperti DOS akan dimasukkan supaya ia boleh diboot. Selepas sistem operasi dimasukkan, barulah program lain seperti Word Star, Lotus, dBase dan sebagainya dimasukkan. Semua program tersebut dihasilkan oleh syarikat-syarikat perisian. Membaca adalah cara umum bagi mendalami apa-apa bidang. Untuk meningkatkan kemahiran, anda perlu banyak membuat latihan praktikal kerana perkomputeran hanya 10 peratus teori dan 90 peratus praktikal. Buku pertama yang disyorkan ialah mengenai DOS kerana ia merupakan nyawa kepada komputer. Walau pun anda menggunakan Windows 95, DOS tetap digunakan di lapisan operasiannya. Setelah memahami tentang DOS barulah beralih kepada Windows dan program- program lain. Selamat berusaha dan jangan terlalu asyik hingga mengabaikan pelajaran sekolah.