Soalan: Saya mempunyai cakera keras 260 MB menggunakan kawalan IDE. Bolehkah saya menukar cakera keras saya kepada 800 MB dengan kawalan IDE tersebut? Jika tidak, apakah alternatif terbaik? - Awang Soh, Dabong, Gua Musang, Kelantan. Jawapan : Anda boleh menukar cakera keras kepada 800 Mb dengan syarat: a. BIOS komputer menyokong saiz cakera keras yang mempunyai lebih dari 1024 silinder atau b. Papan induk menyokong mod LBA. Komputer yang tidak mempunyai salah satu di atas boleh menggunakan pemacu yang disertakan bersama cakera keras. Bagaimanapun ini tidak digalakkan kerana sekiranya pemacu terpadam dari simpanan dan tidak dapat dimuatkan ketika proses but, cakera keras tidak boleh diguna/beroperasi. Komputer dengan BIOS yang tidak menyokong lebih 1024 silinder atau tidak menyokong mod LBA lebih selamat dipasang cakera keras tidak lebih dari 540 Mb. Sekiranya komputer anda boleh menggunakan cakera keras yang besar, anda perlu membuat pembahagian (partitioning). Pastikan bahagian yang paling besar tidak melebihi 520 Mb kerana semakin besar cakera keras semakin lembap proses mencapai data. Pengawal IDE hanya menentukan kelajuan penghantaran data dari cakera keras ke papan induk. Untuk prestasi yang lebih baik, anda digalakkan menggunakan Vesa Local Bus IDE atau PCI IDE.