SOALAN: Ketika bermain games, komputer saya dimasuki virus menyebabkan menu hilang dan programnya tidak dapat dibuka. Bagaimana cara mengatasinya? - Amri Muhayat, Kedah. Jawapan: Sekiranya komputer anda telah dimasuki virus, langkah-langkah yang perlu anda lakukan ialah: 1. But Komputer dengan disket but yang bersih, iaitu bebas virus. 2. Menggunakan perisian anti virus untuk menghapuskan virus yang ada. Sekiranya anda tidak ada disket but, buat satu disket but dengan arahan FORMAT A:/S. Jangan format disket dari komputer yang dijangkiti virus. Sekiranya komputer anda dijangkiti virus, buat disket but mengunakan komputer lain. Perisian anti virus boleh dibeli di mana-mana kedai komputer tetapi pastikan anda mendapat perisian anti virus yang terbaru dan selalulah upgrade perisian anti virus tersebut. Perisian Anti Virus seperti Armour dan Vet berkesan untuk membuang virus tanpa merosakkan fail asal. Tetapi program MENU seperti Direct Access memang tidak dapat diselamatkan. Perisian tersebut terpaksa dimuatkan semula ke dalam cakera keras Soalan: Apakah perbezaan dan kelebihan antara program Direct Access dan Syslock? Badrul Amin, Selangor. Jawapan: Fungsi kedua-duanya sama saja, cuma dibuat oleh dua syarikat berlainan. Soalan: Apakah penyebab gambar pada komputer menjadi pudar setelah dibuka selama 10 minit? - Azali Mohd Rais, Negeri Sembilan. Jawapan: Gambar menjadi kelabu atau bergoyang selalunya disebabkan kepanasan. Cuba periksa di belakang komputer, iaitu di bahagian kipas. Periksa sama ada kipas tersebut berfungsi. Sekiranya tidak, hantar segera ke kedai komputer untuk diganti sebelum ia menyebabkan kerosakan pada komponen lain. Jika anda menggunakan komputer 486DX2 ke atas, pastikan kipas di atas cip CPU berfungsi. Selain masalah kepanasan, gangguan kepada skrin paparan (monitor) mungkin juga disebabkan oleh nilai perintangnya (resistor) telah berubah. Soalan: Bagaimanakah cara penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsoft Power Point, Microsoft Publisher dan Microsoft Office dalam Microsoft Window 3.1? - Lin Mei Yin, Perak. Jawapan: Untuk mengetahui cara menggunakan semua perisian tadi, anda boleh membeli buku atau mengikuti kelas komputer. Di antara buku yang mudah difahami adalah buku siri ... for dummies seperti seperti Word for Dummies dan Excel for Dummies. Terdapat bantuan terus (online help) dalam semua perisian dewasa ini. Apa yang perlu anda lakukan hanya klik di ruang HELP yang ada pada setiap perisian.