Xircom RealPort2 PC Modem 56 GlobalACCESS dan Ethernet 10/100 Kad PC Bersepadu LAN dan WAN Pengeluar: Xircom Inc. Pertanyaan: Xircom Asia Pacific Pte Ltd Telefon: +65 7325001/7322245 Laman web: www.xircom.com KOMPUTER mudah alih atau notebook adalah peranti utama untuk pengguna yang tidak statik atau tidak duduk di satu tempat saja melakukan tugasan. Pengguna ini biasanya sering berada di luar pejabat sama ada berjumpa rakan niaga, pelanggan, ke pejabat cawangan dan sebagainya. Bagaimana notebook memainkan peranan untuk menjadikan tugasan lebih bertenaga, bermutu dan meyakinkan? Tentunya lebih baik dan mudah lagi jika ia dapat dihubungkan ke sistem rangkaian setempat (LAN) organisasi pengguna atau ke sistem rangkaian luas (WAN) untuk perhubungan ke dunia luar terutama Internet. Kad PC atau kad modem atau kad PC + modem adalah peranti utama yang diperlukan untuk membuat sebarang perhubungan antara notebook dengan sistem-sistem terbabit. Xircom adalah syarikat dan jenama terkemuka dalam pengeluar pelbagai jenis kad PC dan kad modem. Dalam tempoh terdekat ini, makmal kami sudah mempunyai tiga kad PC dan kad modem daripada model yang sama walaupun hanya mempunyai sebuah notebook. Hanya satu kad saja yang boleh digunakan sedangkan dua lagi menganggur di dalam almari perhiasan walaupun masih berfungsi dengan baik. Kenapa...? Jawapannya mudah, kerana kabel pada kotak yang menyambungkan kad PC itu rosak ataupun hilang. Apabila ini berlaku, terpaksalah beli yang baru. Kerosakan kabel yang menyambungkan kotak modem/ethernet ke kad PC juga menjadi antara faktor pemusnah sekiranya tidak cermat ketika menggunakannya. Menyedari hakikat itu, Xircom sebagai peneraju sentiasa memperbaiki dari semasa ke semasa produk keluarannya untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggannya. Kad PC Xircom RealPort terdiri daripada lima jenis penyambungan iaitu Ethernet + modem; Modem + Wireless Data; Ethernet; Modem dan Wireless, yang mana semuanya menyokong slot PCMCIA II dan III. Dibangunkan berasaskan reka bentuk baru yang tidak menggunakan kekotak luaran untuk menyambungkan kabel telefon dan UTP untuk sambungan ke LAN. Reka bentuk baru itu membolehkan jack telefon atau UTP disambungkan terus kepada kad PC RealPort itu. Produk terbaru Xircom ialah kad PC RealPort2 Modem 56 GlobalACCESS (R2m56GA) dan RealPort2 Ethernet 10/100 (R2E-100). Setiap kad disertakan dengan cakera yang mengandungi perisian pemacu dan dokumentasi serta manual untuk memudahkan pengguna. Ia boleh beroperasi di atas platform Windows 95/98/2000, Windows NT dan lain-lain sistem operasi popular. Pemacu CD-ROM notebook yang kami digunakan adalah daripada jenis luaran yang menggunakan kad PC, bermakna menggunakan satu slot PCMCIA. Disebabkan kad PC jenis RealPort ini mempunyai port terbina dalam dengan kad PC, maka kad PC untuk notebook tidak boleh digunakan. Jadi untuk pemasangan pemacu, kami terpaksa menyalin fail-fail .inf, .dll, .vxd yang ada dalam CD ke dalam cakera liut terlebih dahulu. Proses pemasangan dan menghidupkan kedua-dua kad PC itu hanya mengambil masa kurang dari satu minit. Kad PC RealPort2 Ethernet 10/100 berfungsi dengan baik ketika diuji menggunakan suis Lucent P333T dan berjaya mencapai kelajuan 100 Mbps Full Duplex. Apabila penulis mengubah kabel UTP kepada suis 3COM 610, kelajuannya berkurangan kepada 10 Mbps Full Duplex. Ini menunjukkan PC Card berkenaan berfungsi dengan baiknya. Penggunaan kad PC Ethernet dengan port terbina dalam amat memudahkan untuk membuat pemeriksaan ke atas sistem rangkaian setempat. Dengan cara lama, kita terpaksa membuka kekotak yang menyambungkan kad PC untuk membuat sebarang perubahan, tetapi dengan kad PC Xircom RealPort, kita hanya perlu mencabut kabel UTP dan terus boleh memindahkan notebook ke lokasi lain tanpa rasa bimbang berlaku kerosakan pada kabel yang menyambung kepada kad PC. Penggunaan kad modem RealPort2 GlobalACCESS juga amat mudah. Kad ini menyokong V.90 dan KFlex. Kelajuan yang berjaya dicapai ke salah satu pembekal perkhidmatan Internet negara adalah pada kadar 44 Kbps. Dengan namanya sebagai GlobalACCESS bermakna ia menyokong hampir semua sistem rangkaian komunikasi tanpa wayar digital termasuk GSM 900, GSM 1800, GSM 1900, DCS 1800, PCS 1900, talian ISDN dan telefon mudah alih PDC. Secara amnya boleh dirumuskan kebaikan kad PC jenis ini ialah: * tidak perlu membawa alat/kotak tambahan untuk setiap PC Card; * tidak berlaku lagi masalah atau kerosakan kabel pada sambungan antara kotak/alat dengan kad PC; * semua pemacu boleh diperolehi di www.xircom.com. Kita tidak perlu risau sekiranya CD berkenaan hilang. * ia juga dilengkapkan dengan ciri terkini yang menjimatkan tenaga sekali gus memaksimumkan jangka hayat bateri notebook. Sementara keburukannya tidaklah banyak, cuma dengan hanya satu kad PC RealPort, ia telah menggunakan kedua-dua ruang slot PCMCIA dan agak menyukarkan sekiranya hendak menggunakan peranti lain. Bagaimanapun, sekiranya kita perlu menggunakan kedua-dua slot itu, kad ini boleh dicantumkan menjadi satu, sama seperti yang kami gunakan sekarang. Bijak! Bijak! Byline : By Rozaimy Baharuddin; Husain Jahit