Kabel & Penyambung (Connector)

 

Setelah kita imbas segala fungsi lapisan OSI, mari kita teliti setiap lapisan dan kaitkannya dengan dunia nyata.

 

 

Lapisan Fizikal/Physical Layer

 

Komputer merupakan peralatan utama. Kabel perlu untuk menghubungkan dua atau lebih komputer. Terdapat banyak jenis kabel yang digunakan. Penggunaan kabel bergantung kepada jenis topologi yang kita pilih. Sebagai contoh, untuk Ethernet, kita boleh guna kabel RG58, RG8/9 atau UTP. Bagi Cecincin Token (Token Ring), kita perlu guna kabel UTP dan STP.

 

Disini diberikan spesifikasi kabel yang dipakai guna di dalam rangkaian Ethernet.

 

10Base5 (thick coaxial type RG-8) - Thick Wire/ThickNet

 

  1. Bermaksud 10 Mb/s, isyarat jalur asas (baseband singaling). Isyarat jenis jalur asas (baseband) merupakan isyarat digital yang dihantar tanpa sebarang perubahan. Ini menyebabkan isyarat jenis ini hanya mempunyai satu saluran (channel) di dalam suatu masa. Panjang maksima ialah 500 Meter (1,640 kaki). Mula diperkenalkan dalam tahun 1980 dan masih digunakan sebagai tulang belakang (backbone) segmen untuk disambung ke dalam sistem Ethernet kerana ianya murah. Walau bagaimana pun ianya hanya sesuai untuk kelajuan sehingga 10 Mbps. Sila rujuk rajah 1 dan 2

 

  1. Jarak minima 2.5 meter diantara MAUs (Medium attachment units). Sekiranya jarak antara MAU kurang, maka kepincangan rangkaian akan berlaku

 

  1. Maksima 100 MAUs. Mau disini berfungsi sebagai penghantar-terima (transceiver). Kabel AUI (Attachment Unit Interface) atau lebih dikenali dengan kabel transceiver. Kabel AUI 15 pin jenis Male disambung ke MAU dan 15 pin Female disambung kepada DTE. Panjang maksima kabel AUI adalah 50 meter. Rajah 3 menunjukkan contoh kabel dan penyambung AUI

 

  1. Penyambung (connector) yang digunakan untuk menyambungkan kabel dari 10Base5 ialah dari jenis Coaxial tap atau lebih dikenali dengan panggilan Vampire tap. Ia dipanggil Vampire kerana kita perlu menebuk lubang pada kabel tersebut dan penyambung Vampire yang mempunyai tiga jarum panjang dan akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut. Satu jarum ditebuk mengenai kepada pusat wayar. Dua jarum lagi kena pada wayar diluar

 

  1. Memerlukan penamat (terminator) 50-ohm dikedua-dua hujung kabel dan perlu dibumikan (grounded) di salah satu penghujungnya untuk keselamatan dari kejutan elektrik (electrical safety). Jangan sesekali membumikan kedua-dua hujung kabel tersebut kerana ia akan menganggu isyarat Ethernet yang berada di dalam kabel tersebut.

 

  1. Sekiranya sistem rangkaian mengalami kepincangan seperti terlalu lembab (slow) kerosakan mungkin disebabkan oleh sambungan di coaxial tap (vampire connector) mengalami kerosakan atau mungkin juga ethernet kad di dalam DTE mengalami kerosakan. Walaubagaimana kemungkinan berlaku kerosakkan pada kabel 10base5 amat tipis. Selalu digunakan di dalam rangkaian BAS, juga boleh digunakan dalam rangkaian BINTANG apabila menggunakan peralatan pengulang berbilang pangkalan (multiport repeaters) seperti Cabletron MR-9000C seperti dirajah

 

Rajah 1: Menunjukkan cara penyambungan yang dilakukan dengan menggunakan kabel 10base5.

Rajah 2: Vampire Tap dipasang bersama Transceiver

Rajah 3: Contoh kabel dan penyambung jenis AUI

 

 

Rajah 4: Pengulang Berbilang Pangkalan (Multiport Repeater)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

10Base2 (thin coaxial type RG58 A/U atau RG58 C/U)

 

  1. Bermaksud 10 Mb/s, isyarat jalur asas (baseband signaling) dan maksima panjang 200 Meter (600 kaki). Walau bagaimana pun realiti panjang untuk satu segmen hanya 185 meter. Jadi cara pratikal pastikan kabel 10Base2 hanya mempunyai segmen maksima sampai 185 meter tetapi kalau kita mempunyai segment untuk 10Base2 sehingga 200 meter atau lebih, sistem rangkaian masih boleh berfungsi tetapi kita akan menghadapi sistem rangkaian yang kita bina mempunyai penyakit intermittent, iaitu kejap OK dan kejap KO

 

  1. Jarak minima 0.5 meter diantara MAUs. Bermaksud jarak minima kabel 10Base2 yang disambung antara satu komputer dengan komputer yang lain adalah 0.5 meter. Kalau kabel tersebut pendek dari 0.5 meter, sistem rangkaian kita masih lagi boleh berfungsi tetapi sistem rangkaian jadi macam biskut, kejap boleh, kejap tak boleh. Dari itu, janganlah ingat kalau kita buat kabel pendek, contoh 1 kaki, kita akan dapat jimatkan duit syarikat

 

  1. Jumlah maksima 30 MAUs. Bermaksud sejumlah 30 komputer dalam satu segmen atau 29 komputer dan satu pengulang (repeater). Kalau kita kira panjang minima kabel adalah 0.5 dan maksima komputer boleh disambung adalah 30. Maka 0.5 X 30 = 150 meter. Dari itu sekiranya kita perlu memasang 31 komputer maka kita perlu memasang satu pengulang. Dengan adanya satu pengulang kita akan dapat menambahkan kapasiti dari 30 komputer kepada 58 komputer. Dengan adanya pengulang kita juga dapat menambahkan jarak maksima kabel dari 185 meter kepada 370 meter. Sila rujuk rajah 5

 

  1. Perlu menggunakan penamat (terminator) 50 ohm. Penamat perlu diletakkan di kedua-dua penghujung segmen. Tanpa penamat 50 ohm sistem rangkaian tak mungkin berfungsi. Sila rujuk rajah 6 dan 7

 

  1. Penyambung (connector) yang selalu digunakan adalah jenis BNC T. Sila rujuk rajah 8. Perlu diingatkan sekiranya kita mencabut penyambung BNC T dari komputer sistem rangkaian masih berfungsi dengan baik kerana segmen tersebut masih dalam keadaan elok kerana dikedua-dua hujung segmen tersebut masih terdapat penamat 50 ohm. Tetapi sekiranya kita mencabut kabel 10Base2 dari salah satu komputer maka sistem rangkaian tidak akan berfungsi kerana kita telah memutuskan segmen tersebut. Dengan kata lain, dikedua-dua hujung segmen tersebut hanya ada satu penamat (terminator)

 

  1. Selalu digunakan di dalam rangkaian BAS, juga boleh digunakan dalam rangkaian BINTANG apabila menggunakan Pengulang Berbilang Pangkalan (multiport repeaters) seperti Cabletron MR-9000C

 



Rajah 5: Menunjukkan cara kita menyambungkan 2 segmen dengan menggunakan pengulang (repeater).

 

Rajah 6: BNC Penamat (Terminator) 50ohm - mesti diletakkan dikedua-dua hujung kabel.

 


Rajah 7: Menunjukkan penyambungan T connector dengan kabel 10Base2

 


Rajah 8: BNC T-Joint - Digunakan untuk sambung ke kad antaramuka rangkaian (Network Interface Card - NIC) dan kabel sepaksi (Coaxial Cable).

Rajah 9: Penyambung BNC sebelum dipasang


Rajah 10: Kabel Sepaksi jenis RG58 berserta BNC male

 

Rajah 11: Kad Antaramuka Rangkaian (Network Interface Card - NIC) dengan penyambung jenis Combo (UTP, AUI dan BNC)

 

 

 

 

 

 

 

 

10Base-T (Twisted pair)

 

  1. Bermaksud 10 Mb/s, isyarat jalur asas (baseband singaling) dan maksima panjang 100 meter. Kabel 10base-T lebih dikenali dengan twisted pair kerana sistem operasinya mengunakan dua pasang wayar. Dimana sepasang untuk menghantar data dan sepasang lagi untuk menerima data. Untuk menguatkan lagi isyarat, wayar tersebut perlulah dipintal (twisted). Walaupun kabel 10base-T datang dengan lapan wayar, hanya empat wayar sahaja digunakan. Sila rujuk jadual 10Base-T dan rajah 12

 

  1. Sekiranya dua buah komputer peribadi disambungkan, kabel 10Base-T perlulah disilangkan dan jangan lupa tandakan X pada setiap hujung kabel supaya tidak terkeliru dengan kabel jenis lain. Konfigurasi kabel bersilang juga digunakan untuk sambungan antara dua hab. Sila rujuk rajah 13. Tetapi sekira komputer peribadi disambung kepada hab kita perlu mengunakan kabel straight through kerana di dalam hab telah disilangkan. Sila rujuk rajah 14. Pin 4, 5, 7 dan 8 disambung secara terus untuk kedua-dua cara tadi. Ini kerana pin ini tidak berfungsi

 

  1. Tiada jarak minima diantara stesen. Tetapi di dalam 100Base-T jarak minima disarankan adalah 1.5 meter. Sekiranya jarak terlalu pendek, kepincangan rangkaian mungkin berlaku pada kelajuan 100Mb/s

 

  1. Jumlah maksima 1,204 stesen tanpa menggunakan titi (bridge) atau pengulang (repeater) pada lapisan Data Link

 

  1. Menggunakan penyambung jenis RJ45. Sila rujuk rajah 15

 

  1. Boleh dibahagikan kepada 6 jenis Twisted pair kabel. Sila rujuk jadual Cat. Selalunya digunakan di dalam topologi bintang (STAR)

 

 

 

Nombor Pin

Isyarat

Warna

1

TD+

Putih/oren

2

TD-

Oren

3

RD+

Putih/hijau

4

 

Biru

5

 

Putih/biru

6

RD-

Hijau

7

 

Putih/coklat

8

 

Coklat

Jadual 10Base-T: Menunjukkan kedudukan pin dan warna di dalam penyambung RJ45 untuk kegunaan 10Base-T.

 

Rajah 12: Kedudukan wayar di dalam penyambung jenis RJ 45

 

 

Rajah 13: Pemasang cara menyilang (PC ke PC, Hab ke Hab dan Router ke PC)

Rajah 14: Pemasang cara terus (PC ke Hab dan Router ke Hab)

 


 
Rajah 15: Penyambung jenis RJ45

 

 

Rajah 16: Penyambung pada Face Plate dari dekat

 

 

Jenis

Kelajuan Maksima

Kegunaan

Katergori 1

4 – 5Mb/s

Talipon

Katergori 2

4- 5 Mb/s

Local talk

Katergori 3

10 Mb/s

Data Ethernet

Katergori 4

16 Mb/s – Token ring
20 Mb/s

Ethernet

Katergori 5

100 Mb/s

Fast Ethernet

Katergori5e

100 – 1000 Mb/s *

Fast Ethernet

Katergori 6

1000Mb/s

Giga Ethernet

 

Jadual Cat: Perbandingan katergori kabel

 

* Kabel jenis katergori 5e boleh menyokong sehingga 1000 Mb/s tetapi tidak digalakkan kerana kadar kebisingan (noise) agak tinggi berbanding dengan ketergori 6.

 

 

 

 

 

 

 

100Base-T (Twisted pair)

Ciri-ciri serupa dengan 10Base-T, cuma kelajuan maksima sehingga 100 Mb/s dan menggunakan kabel twisted pair jenis CAT 5.  Jarak maksima masih lagi 100 meter. Di dalam sistem 10Base-T, jarak dihadkan sehingga 100 meter kerana kekuatan isyarat yang dikeluarkan setiap peralatan akan berkurangan.

 

Sekiranya kabel yang berkualiti tinggi digunakan jarak MUNGKIN dapat dipertingkatan sehingga 150 meter. Jarak ini pernah dilakukan di pejabat saya tetapi tidak ada jaminan tidak akan berlaku kehilangan isyarat. Tetapi di dalam sistem 100Base-T, jarak maksima dihadkan kerana cara kerja 100Base-T berbeza dengan 10Base-T. Sistem 100Base-T mengunakan teknik masa yang dikenali sebagai round trip timing. Iaitu masa yang diambil oleh sesuatu isyarat yang dihantar perlu kembali kepada pengirim di dalam tempoh masa tertentu. Ini menyebabkan jarak maksima (tanpa pengulang) adalah 100 meter.

 

Walaupun penyambung RJ45 dan konfigurasi kabel yang sama digunakan di dalam 100Base-T dan 10Base-T terdapat pantang larang yang ketat untuk 100Base-T. Antaranya:

 

  1. Kabel penyambung pada RJ45 dipastikan diputar (twisted). Jarak maksima hanya setengah inci. Sila rujuk rajah 17. Kegagalan melakukan teknik ini akan menyebabkan kelajuan 100 Mb/s Dupleks penuh (100Mb/s Full Duplex) gagal dicapai

 

  1. Jarak minima kabel adalah 1.5 meter. Jarak ini bukannya standard IEEE (Institute of Electrical and Electronics Engineers) tetapi berdasarkan pengalaman, jarak minima terlalu pendek akan menyebabkan kepincangan pada sistem rangkaian

 

  1. Sekiranya lokasi pengguna lebih 100 meter maka pengunaan pengulang (repeater) atau hab boleh digunakan. Hanya satu pengulang atau hab boleh digunakan. Oleh itu jarak maksima dengan adanya pengulang adalah 200 meter

Rajah 17: Jarak tidak melebihi ½ inci

 

Pemeriksaan Talian 100BASE-TX (100BASE-TX link Integrity test)

 

Penghantar-terima (transceiver) untuk Fast Ethernet akan memerhatikan secara berterusan aktiviti dibahagian penerima (receive) dengan tujuan memastikan talian berkerja dengan betul. Sistem yang digunakan untuk 100BASE-TX adalah sistem isyarat ANSI FDDI, iaitu menghantar isyarat secara berterusan walaupun sistem rangkaian di dalam keadaan terbiar (idle). Dengan ini aktiviti dibahagian penerima sentiasa menerima isyrarat untuk memastikan sistem berjalan dengan lancar.

 

1000Base-T (Twisted pair)

 

Ciri-ciri serupa dengan 100Base-T, cuma kelajuan maksima sehingga 1000 Mb/s (1Gb/s) dan menggunakan kabel twisted pair jenis CAT 6. Kabel katergori 5 boleh juga digunakan dan mempunyai konfigurasi sambungan RJ45 yang sama. Cuma di dalam 1000Base-T kesemua lapan kabel mesti digunakan. Walaupun kabel katergori 5 boleh digunakan, tetapi untuk memastikan kelancaran rangkaian, disarankan menggunakan kabel katergori 6 dan penyambung RJ45 jenis katergori 6. Laman http://www.10gea.org/Tech-whitepapers.htm boleh dilawati untuk mengetahui mengenai teknologi 1Gb/s.

 

Rajah 18 dan 19 menunjukkan cara yang sesuai untuk menggunakan kabel kategori 5 di dalam sistem 1000Base-T.

Rajah 18: Merupakan cara yang biasa kita guna untuk sistem 100Base-T dengan kabel kategori 5.

Rajah 19: Merupakan cara yang perlu kita guna untuk sistem 1000Base-T dengan kabel kategori 5.

 

Petunjuk:

1

Switch 1000Base-T

A

Korda Tampal (Patch Cord)

B

Panel Tampal (Patch Panel)

2

4 pasang kabel mengufuk (horizontal)

C

Face Plate

D

Korda Tampal (Patch Cord)

Nota: Konfigurasi kabel sama seperti 100Base-T4

Rajah 20: Penyambung pada Face Plate dari dekat (C)

 

Rajah 21: Patch Panel dari dekat (B)

 

10Base-F (Fiber Optic)  

 

  1. Menggunakan teknologi denyutan cahaya (pulses of light) berbeza dengan kabel yang lain menggunakan teknologi elektrik untuk menghantar isyarat. Perlu diingatkan, kabel fiber optic amat mudah patah. Jangan sekali cuma menyimpan dan memasang kabel cara yang sama seperti kabel yang lain. Ini kerana kabel fiber diperbuat dari kaca atau plastik. Tahukah anda, sepanjang lebuh raya utara selatan terdapat rangkaian fiber optik? Rangkaian fiber tersebut dibina untuk kegunaan telefon kecemasan yang ada sepanjang lebuh raya

 

  1. Oleh kerana ianya mengunakan denyutan cahaya (light pulses), kabel fiber optic amat sesuai untuk digunakan di dalam dan di luar banggunan. Kemungkinan untuk kabel fiber optic terkena kilat adalah sifar. Sekiranya kita perlu menambahkan sistem rangkaian kita ke bangunan yang berdekatan penggunaan kabel fiber optik adalah satu kemestian. Walaupun kos pemasangan tinggi tetapi untuk jangka masa panjang ianya menjimatkan. Dari pengalaman, sekiranya kita menggunakan kabel 10Base2 untuk disambungkan diantara dua rangkaian setempat (LAN - Local Area Network) yang berada di bangunan bersebelah walaupun bangunan tersebut di sambung dengan jambatan seperti bangunan berkembar Petronas. Kemungkinan kabel tersebut terkena kilat adalah besar. Ini kerana ground setiap bangunan adalah berbeza.
    Sekiranya kabel yang kita pasang itu terkena kilat, peralatan lain seperti hab (hub) dan penghala (router) mungkin akan mengalami kerosakan yang teruk. Walaupun kos untuk pemasangan kabel fiber optic dalam lingkungan RM 3000.00 dan kos pemasangan kabel 10Base2 dalam lingkungan RM 400.00 adalah lebih menguntungkan sekiranya kita membayar RM 3000.00 daripada kita mungkin terpaksa mengantikan peralatan hub dan penghala yang berharga melebihi RM 10 ribu

 

  1. Terdapat dua jenis kabel fiber yang selalu digunakan iaitu 10Base-F dan FOIRL (Fiber Optic Inter-Repeater Link). FOIRL mula diperkenalkan ditahun 1980. Jarak maksima untuk FOIRL adalah 1000 meter dan maksima dua MAU. Untuk jenis 10Base-F, jarak maksima adalah 2000 meter dan maksima dua mau

 

  1. Fiber 10Base-F boleh dibahagikan kepada tiga jenis:
    1. 10Base-FL. Merupakan penganti kepada FOIRL. Dengan menggunakan kabel 10BaseFL peralatan yang menggunakan FOIRL masih boleh digunakan. Sekiranya hanya peralatan 10BaseFL digunakan, panjang maksima adalah 2000 meter. Tetapi sekiranya peralatan bercampur dengan FOIRL, panjang maksima adalah 1000 meter sahaja. Dengan menggunakan 10BaseFL, maksima MAU yang boleh digunakan adalah dua. Iaitu antara dua komputer atau dua pengulang (repeater) atau satu komputer disambung dengan satu pengulang. Pengulang (repeater) yang dimaksudkan adalah pengulang jenis berbilang pangkalan (multiport repeater) atau lebih dikenali dengan panggilan hab. Merupakan kabel yang paling banyak digunakan.
       
    2. 10Base-FB. Direka untuk isyarat segerak (synchronous signaling). Selalu disambung kepada hab untuk memanjang lagi jarak sebanyak 2000 meter. Tetapi sistem dan peralatan untuk 10BaseFB adalah terhad.

    3. 10Base-FP. Lebih dikenali dengan Fiber Passive System. Panjang maximum adalah 500 meter. Rajah 22: Kabel fiber optik.

Sistem 100BASE-FX

 

100 menunjukkan kelajuan sistem yang digunakan adalah 100 Mhz, BASE bermaksud ia menggunakan isyarat Baseband dan FX pula bermaksud kabel yang digunakan adalah kabel Fiber Optik. Rajah 23 menunjukkan bagaimana sebuah komputer disambung ke mutliport transceiver (hab).

 

Rajah 23: Sambungan komputer ke 100BASE-FX Ethernet.

 

Dengan menggunakan kabel fiber optik pada sistem 100BASE-FX, panjang maximum kabel adalah 412 meter. Walaupun panjang kabel fiber optik di dalam sistem 10BASE-F boleh mencapai sehingga 2000 meter, tetapi di dalam sistem 100BASE-FX jarak maksimum hanya 412 meter. Ini untuk memastikan round trip timing di dalam segmen Fast Ethernet dapat diikuti.

 

Kabel Fiber Optik untuk 100BASE-FX mempunyai dua kabel yang dipanggil multimode fiber optik (MMF). Satu digunakan untuk menghantar (transmit) data dan satu lagi untuk menerima (receive) data. Bila menggunakan kabel fiber optik, kita perlulah menyambungkannya dengan cara menyilang (crossover). Sila rujuk rajah 23, Port TX pada komputer perlulah disambung ke port RX pada hab dan port RX pada komputer disambung ke port TX pada hab.

Terdapat tiga jenis penyambung (connector):

  1. Penyambung jenis Duplex SC. Penyambung jenis ini amat mudah digunakan. Kita hanya perlu cucuk penyambung Duplex SC tersebut ke tempatnya (SC Duplex Adapter) dan penyambungan sudah selesai. Rajah 24 adalah contoh penyambung jenis Duplex SC. Rajah 25 adalah SC Duplex Adaptor.

Rajah 24: Penyambung jenis Duplex SC  (Ribbed Boot)

Rajah 25: SC Duplex Adaptor (Plastic Housing)

  1. FDDI Media Interface Connector (MIC). Penyambung jenis ini banyak digunakan di dalam sistem rangkaian setempat FDDI (FDDI LAN System). Penyambung jenis ini juga mudah digunakan. Kita hanya perlu cucuk penyambung tersebut ketempatnya dan penyambungan sudah selesai. Rajah 26 adalah contoh penyambung jenis MIC. Rajah 26: Penyambung jenis MIC

 

  1. Penyambung jenis ST. Penyambung jenis ini sama dengan yang digunakan di dalam 10BASE-FL. Cara menggunakan sama seperti kita gunakan penyambung untuk kabel sepaksi (coaxial cable). Kita perlu masukkan penyambung tersebut ke tempatnya dan pulas untuk menguncinya. Rajah 27 dan 29 menunjukkan penyambung jenis ST dan rajah 28 dan 30 menunjukkan adaptor jenis ST.

Rajah 27: Penyambung jenis ST (w/Zirconia Ferrule & Plastic Body)

Rajah 28: Adaptor jenis ST


Rajah 29: Penyambung ST (ST Connector w/Zirconia Ferrule & Metal Body)


Rajah 30: Dual ST Adaptor (Duplex ST Adapter)

 100BASE-FX Pengulang (Repeater)

 

Seperti juga pengulang (repeater) untuk 100BASE –TX, pengulang 100BASE-FX juga terdapat 2 kelas. Kedua-dua kelas akan dilabelkan dengan huruf roman I dan II.

 

Pengulang Kelas I membenarkan timing delay yang besar dan beroperasi dengan mengubah isyarat talian (translating line signal) yang diterima di Incoming Port dan mengubahnya di dalam bentuk Digital dan mengubahnya semula kepada isyarat talian (retranslating to line signal) untuk dihantar keluar ke port lain. Teknik ini berguna untuk mengulang (repeat) semua isyarat diantara segmen yang berlainan teknik seperti 100BASE-TX/FX dan 100BASE-T4 bersambung di dalam satu HAB.

 

Pengulang Kelas II menggunakan timing delay yang kecil. Isyarat yang diterima akan dihantar semula ke port yang dalam kadar segera tanpa mengubah bentuk isyarat tersebut. Pengulang Kelas II hanya boleh digunakan pada teknik isyarat yang sama seperti 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Ini bermakna HAB Kelas II hanya boleh disambung dengan 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Memandangkan segmen 100BASE-T4 menggunakan teknik isyarat yang berlainan maka kita tidak boleh disambung dengan 100BASE-TX dan 100BASE-FX. Pengulang Kelas II merupakan jenis yang selalu digunakan kerana segmen 100BASE-T4 tidak begitu popular, malah setakat ini saya belum lagi berjumpa mana-mana syarikat yang menggunakan segmen 100BASE-T4 sebagai sistem Fast Ethernet.

 

100Base-T4 Media System 

 

Sistem 100BASE-T4 menggunakan empat pasang wayar, ini membolehkan kabel jenis Category 3 unshielded twisted-pair beroperasi untuk sistem Fast Ethernet. Rajah 31 menunjukkan cara menyambung komputer kepada HAB 100BASE-T4.

Rajah 31: Penyambungan Sistem 100BaseT4

 

Sistem media 100BASE-T4 direka untuk panjang maksima sehingga 100 meter dengan menggunakan kabel unshielded twisted-pair katergori 3, 4 atau 5. Walau bagaimanapun penggunaan kabel katergori 5 digalakkan untuk membaiki isyarat ditalian tersebut. Rajah 32 menunjukan kedudukan empat pasang wayar yang digunakan pada penyambung RJ45 untuk penyambungan terus, iaitu dari PC ke HAB. Rajah 33 menunjukkan penyambungan menyilang yang digunakan untuk sambungan diantara dua HAB.

 

Rujuk rajah 32 dan 33, sepasang wayar digunakan untuk menghantar data (TX),sepasang wayar digunakan untuk menerima data (RX) dan dua pasang wayar sebagai bidirectional data. Setiap pasang mempunyai polaritinya sendiri. Satu membawa isyarat positif (+) dan yang satu lagi membawa isyarat negatif (-)

 

Rajah 32: Penyambungan secara terus pada RJ45

Rajah 33: Penyambungan secara menyilang

Dengan menggunakan sistem 100BaseT4, sistem kabel yang lama seperti katergori 3 tidak perlu ditukarkan kepada katergori 5 untuk mencapai 100Mb/s. Hanya perlu menukar hub/switch dari jenis 10BaseT kepada 100BaseT4. Ini dapat menjimatkan kos pendawaian, walau bagaimanapun jarang kita jumpa sistem ini digunakan. 

 

 

100Base-T2

 

Menggunakan standard 802.3y yang diperkenalkan di dalam tahun 1997. Menggunakan dua pasang wayar dari kabel Kategori 3 untuk mencapai kelajuan 100Mb/s. Jarak maksima masih lagi 100 meter, tetapi sehingga kini saya sendiri tidak pernah lihat produk 100Base-T2. Sistem ini merupakan satu cara alternatif untuk mencapai kelajuan 100Mb/s tanpa perlu menukarkan sistem pendawaian.

 

 

1000Base-LX

 

Ini merupakan sistem Gigabit Ethernet melalui kabel fiber optik. LX bermaksud long wavelength laser (isyarat panjang). Menggunakan kabel single mode yang mempunya saiz diameter 50 micron. Jarak maksima adalah antara 550 sehingga 5000 meter. Kabel dan penyambung sama seperti yang diguna di dalam 10Base-F dan 100Base-FX.

 

 

1000Base-SX

 

Ini merupakan sistem Gigabit Ethernet melalui kabel fiber optik. SX bermaksud short wavelength laser (isyarat pendek). Menggunakan kabel jenis multi mode iaitu mempunyai diameter 62 micron. Dan jarak maksima adalah 550 meter. Kabel dan penyambung sama seperti yang diguna di dalam 10Base-F dan 100Base-FX.

 

 

1000Base-CX

 

CX bermaksud Copper. Menggunakan kabel jenis copper, seperti UTP (Unshielded Twisted Pair) katergori 5, tetapi kabel yang digunakan dikenali sebagai STP (Shielded Twisted Pair). Kabel jenis ini lebih mahal dari jenis UTP, Ini kerana setiap pasang wayar disarungkan dengan penebat. Jarak maksima 25 meter.

 

 

Ringkasan

 

Standard

Standard
Keluaran Pertama

Kelajuan Data

Topologi

Media

Panjang Maksima dalam meter

Half-Duplex

Full-Duplex

10Base5

DIX-1980,
802.3-1983

10Mb/s

Bus

50-ohm Kabel Sepaksi (thick Ethernet) (10mm thick)

500

n/a

10Base2

802.3a-1985

10Mb/s

Bus

50-ohm RG 58 Kabel Sepaksi (thin Ethernet) (5mm thick)

185

n/a

FOIRL

802.3d-1987

10Mb/s

Star

2 unit fiber optik

1000

>1000

10Base-T

802.3i-1990

10Mb/s

Star

2 pasang kabel UTP 100-ohm Katergori 3 atau lebih baik

100

100

10Base-FL

802.3j-1993

10Mb/s

Star

2 unit fiber optik

2000

>2000

10Base-FB

802.3j-1993

10Mb/s

Star

2 unit fiber optik

2000

n/a

10Base-FP

802.3j-1993

10Mb/s

Star

2 unit fiber optik

1000

n/a

100Base-TX

802.3u-1995

100Mb/s

Star

2 pasang kabel UTP 100-ohm Katergori 5

100

100

100Base-FX

802.3u-1995

100Mb/s

Star

2 unit fiber optik

412

2000

100Base-T4

802.3u-1995

100Mb/s

Star

4 pasang kabel UTP 100-ohm Katergori 3 atau lebih baik

100

n/a

100Base-T2

802.3y-1997

100Mb/s

Star

2 pasang kabel UTP 100-ohm Katergori 3 atau lebih baik

100

100

1000Base-LX

802.3z-1998

1Gb/s

Star

long wavelength laser (1300nm) over:
- 62.5um multi-mode fiber
- 50um multi-mode fiber
- 10um single mode fiber


316
316
316


550
550
5000

1000Base-SX

802.3z-1998

1Gb/s

Star

short wavelength laser (850nm) over:
- 62.5um multi-mode fiber
- 50um multi-mode fiber


275
316


275
550

1000Base-CX

802.3z-1998

1Gb/s

Star

STP ("twinax" or "short haul copper")

25

25

1000Base-T

802.3ab-1999

1Gb/s

Star

4 pasang kabel UTP 100-ohm Katergori 5 atau lebih baik

100